Pada hari Jumaat 22-oct-2010 yang lalu Panitia Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris telah mengadakan aktiviti Pertandingan bercerita (BM) dan story telling (BI) bagi para pelajar. Acara dimulakan dengan Pertandingan bercerita dalam Bahasa Melayu seawal 7:30 pagi.
Selepas murid-murid berkumpul di bawah makmal komputer sekolah, mereka diminta menyanyikan lagu Negaraku. Selepas itu pertandingan yang disertai oleh 2 orang wakil setiap kelas itu pun bermula. Pelbagai ragam disaksikan pada murid-murid. Ada yang menarik perhatian para hakim dengan kepetahan dan kelantangan suara, tidak kurang juga yang terdiam, mungkin kerana terlupa cerita yang hendak disampaikan, atau gugup semata-mata kerana berada di atas pentas dan melihat semua mata rakan-rakan dan cikgu-cikgu tertumpu ke arahnya.
Walau apapun sebabnya, aktiviti sebegini dapat melatih mereka untuk menjadi seorang yang berani dalam pengucapan awam dan yang penting membentuk peribadi yang berkeyakinan. Sama seperti pertandingan bercerita, Story Telling pula telah dijalankan pada sebelah tengah hari selepas para pelajar dan guru menjamu selera.
Majlis diteruskan dengan Ucapan Perasmian/Penutupan oleh Penolong Kanan Cikgu Cyril dan selepas itu beliau menyampaikan hadiah dan sijil kepada para pemenang.
Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Bagi para pemenang dari tahun 1 hingga 5, nama mereka bakal dicalonkan untuk mewakili sekolah dalam pertandingan bercerita peringkat kelompok pada masa akan datang.
Penghargaan Pengelola:
"Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara lansung dan tidak lansung bagi menjayakan pertandingan ini. Semoga usaha ini akan melahirkan murid yang berkeyakinan dan berketrampilan.
Hati Tertawan Seri Kesuma
Tepi Berangan Permatang Laman
Budi Tuan Kami Terima
Jadi Kenangan Sepanjang Zaman"
Dengan ingatan tulus ikhlas daripada Panitia Bahasa Malaysia dan Panitia Bahasa Inggeris